Islamic Widget

Monday, February 7, 2011

Bersederhana (Berwasatiyyah) Dalam Menuntut Ilmu

Bersederhana (Berwasatiyyah) Dalam Menuntut Ilmu

0
Pada zaman dahulu, menurut ceritanya, si polan yang ingin menuntut ilmu, terpaksa merantau berpurnama lamanya untuk mencari seorang guru. Guru yang ditemui pula belum tentu akan menerima si polan dengan mudah. Setelah disuruh mengangkat air, membelah kayu dan dilempang hingga tergolek; jika si polan tahan dengan deraan itu, baharulah dia diterima menjadi murid.
Pada tahun-tahun selepas kemerdekaan, menuntut ilmu asas menjadi mudah dengan wujudnya sekolah. Namun, untuk memperoleh ilmu ke peringkat tertinggi hingga ke menara gading bukannya senang. Bukan sedikit mereka yang mengambil peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (kini PMR) lebih daripada sekali, Sijil Pelajaran Malaysia hingga tiga kali, atau Sijil Tinggi Pelajaran (kini STPM) sampai lima kali hanya untuk menjejakkan kaki ke tangga universiti.
Tetapi, pada hari ini, ilmu pula yang mencari kita. Bukalah akhbar dan kita akan menemui pelbagai ilmu yang ditawarkan. Kita boleh memilih mana yang sesuai dan diminati. Layarilah internet, dan kita boleh menemui beribu-ribu laman institusi pelajaran. Malah, tawaran untuk mempelajari ilmu sampai kepada kita dalam bentuk e-mel ataupun surat. Seolah-olah pada hari ini, guru yang mencari kita, bukan sebaliknya.
Oleh kerana mudahnya memperoleh ilmu pada hari ini, maka sesiapa sahaja boleh belajar apa yang diingininya pada bila-bila masa yang kita suka. Tambahan pula, tiada had umur yang menyekat kita daripada mempelajari sesuatu. Tentu sekali fenomena ini amat bagus kerana ia memenuhi hasrat kita sebagai manusia yang sentiasa ingin tahu dan ingin menjadi lebih pandai. Tanpa perlu mengikuti kelas atau kuliah yang formal pun, kita itu boleh menjadi pakar di dalam bidang yang diminatinya.
Namun, ia boleh menjadi masalah apabila kita tidak mempunyai kepandaian untuk menilai sesuatu ilmu itu. Kita perlu tahu menimbang apakah ilmu itu menjadikan kita lebih bijaksana atau semakin dungu. Lebih tawaduk bila mana ilmu itu membuatkan kita semakin sedar akan kekurangan ilmu yang diterokai atau semakin bongkak dengan ilmu yang sedikit. Lebih malang lagi jika kita tertuntut ilmu yang sudah ketinggalan zaman ataupun yang salah lagi menyesatkan!
Mempelajari sesuatu ilmu itu tidak boleh hanya berdasarkan menambah pengetahuan dan kemahiran dalam sesuatu bidang. Jika itulah sahaja yang diperoleh, maka kita hanya mendapat kulit dan isi dan tidak intinya. Kulit adalah pengetahuannya, isi adalah kemahirannya, tetapi intinya pula ialah sikapnya.
Serampang tiga mata yang menunjangi ilmu inilah yang menjadi kunci-kunci kepada penguasaan apa jua bidang. Tidak boleh tidak, ilmu yang baik adalah ilmu yang meresap dan dihayati oleh seseorang secara mental, fizikal dan spiritual. Ini adalah kerana, pengetahuan sesuatu ilmu itu adalah untuk mental, kemahiran ilmu itu adalah untuk fizikal, sementara perubahan sikap yang diperoleh daripada sesebuah ilmu itu adalah untuk spiritualnya.
Lihatlah betapa ramai manusia yang dikatakan terpelajar tetapi tidak bijak, apatah lagi bestari. Tahu teori, tetapi yang tidak dapat dipraktikkan. Kerana itulah, jika kita renungi, terdapat banyak sekali masalah di dalam masyarakat yang terjadi secara berulang kerana pendekatan penyelesaiannya mengikut paradigma yang serupa. Puncanya adalah kerana penguasaan ilmunya hanyalah penambahan pengetahuan dan peningkatan kemahiran dan tidak kepada perubahan sikap.
Jika akal dan fikiran sahaja yang diasah, tetapi hati masih tidak diasuh, maka setinggi mana, sebanyak mana ilmu yang dituntut, ia akan berkesudahan dengan kesilapan yang akhirnya menjadi kesalahan. Ilmu yang tidak dipelajari dengan penyertaan hati akan menjadikan seseorang itu tidak mengenal baik dan buruk untuk diri, negara dan agamanya meskipun dia sudah mumayiz berpuluh-puluh tahun yang lalu.
Justeru itu, dalam pada kita mudah sekali mempelajari ilmu, kita mestilah memperoleh tiga elemen yang penting itu. Ia akan menjadikan kita seseorang yang seimbang dari segi perlakuan dan pemikiran. Malah, pada waktu yang sama dapat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari secara optimum. Inilah wasatiyyah yang harus menjadi pegangan kepada sesiapa yang mencintai ilmu

4 Petua Tangani Bosan

4 Petua Tangani Bosan

0
 
Apakah rasa bosan? Rasa bosan  timbul apabila anda jemu menghadap sesuatu berulang-ulang kali. Dalam situasi lain, rasa bosan timbul apabila anda tiada apa yang dibuat, tak ada apa hendak dilakukan ketika masa terluang. Awas! Bosan adalah petanda besar anda orang yang tidak ada matlamat.
Tips motivasi kali ni, berikut adalah 4 petua bagaimana mengelak rasa bosan.
1. Sibukkan Diri, Kenal Pasti Hobi.
Cari apa yang boleh dilakukan. Bentuk diri menjadi rajin. Jika anda tiada apa hendak dilakukan, fikirkan sesuatu yang anda rasa seronok melakukannya supaya tidak sedar masa berlalu. Ada orang suka tengok tv sebab dia rasa seronok menonton tv, walau dari pagi sampai ke malam. Ada orang suka memancing, sebab dia seronok memancing, walau dari malam sampai ke pagi. Untuk mengelak rasa bosan cari sesuatu disekeliling yang boleh anda lakukan.
2. Jadi Workaholic
Orang workaholic adalah orang yang suka bekerja, asyik dengan kerja hingga tak sedar masa berlalu. Kerja bukan kerja bagi dirinya tapi satu hobi. Perasaan enjoy bekerja ni akan hadir apabila nda menemui keseronokan ketika melaksanakan kerja.Untuk mengelak rasa bosan, anda boleh bentuk diri anda menjadi seorang workaholic – sentiasa ada saja yang perlu dibuat, ada saja yang perlu disiapkan, ada saja yang perlu disempurnakan. Awas! Sikap workaholic tak sesuai untuk orang suddah berkawin. Jika anda seorang suami, nanti isteri anda saman anda sebab tak balik-balik rumah dek terlalu layan kerja. Jika anda seorang isteri, nanti suami anda makan maggi setiap hari.
3. Set Matlamat, Azam, Cita-cita dan Impian. Selepas itu Berusahalah Mencapainya!
Orang yang selalu merasa bosan adalah orang yang tidak ada impian. Orang yang bosan dengan hidup adalah orang tidak ada cita-cita. Set satu impian kemudian fikirkan cara untuk mencapai impian itu. selepas tu berusalah mencapainya walau dengan apa cara sekalipun, asalkan halal. Fikir, fikir, fikir, selepas itu buat. Buat dan terus buat. Jangan duduk diam! Lama-kelamaan anda akan perasan anda dapat mengelak rasa bosan sebab anda sudah tidak ada masa untuk merasa bosan. Masa yang ada terisi dengan usaha ke arah mencapai cita-cita anda.
4. Rajinkan Diri Beribadah.
Ini pula adalah tips yang baik untuk mengelak rasa bosan dari perspektif Islam. Sibukkan diri dengan ibadah. Dalam menyempurnakan tuntutan ibadah wajib, banyakkan ibadah sunat. Hadirkan rasa kekurangan dan kehambaan dalam diri. Jangan pernah merasa puas dengan ibadah-ibadah yang sudah disempurnakan sebelum ini. Rasai keseronokan melaksanakan ibadah, rasai ketenangan ketika dalam proses menyempurnakan ibadah. Pasti anda terdorong untuk melakukannya lagi, dan lagi, dan lagi, banyak kali sampaikan anda macam tak mahu berhenti.

Jangan Pinta Kematian Ayahmu!

Jangan Pinta Kematian Ayahmu!

0
 
Konflik antara ibu-bapa dan anak pasti terjadi. Walau bagaimana sabar dan bijaksananya kita mentadbir keluarga, satu ketika masalah ini akan muncul jua. Apatah lagi kita yang masih bermujahadah ini... tetap akan diuji Allah dengan karenah anak-anak. Anak-anak pelbagai wataknya.
Ada yang mudah mendengar, mudah dibentuk. Ada yang lemah, mudah terpengaruh... perlu diperkukuhkan selalu. Ada yang bijak, boleh diharap menjadi pengganti sewaktu diperlukan.
Dalam hal memilih jodoh misalnya, kekadang lebih sukar daripada memilih jodoh anak-anak berbanding memilih jodoh kita sendiri. Begitu juga dalam soal yang lain. Pandangan anak-anak perlu diraikan. Apa yang kita nampak, kekadang ditolaknya... bukan kerana dia derhaka, cuma belum sampai fikir dan congak mindanya ke tempat tuju fikiran kita. Masa perlu dihulurkan, perbincangan perlu diraikan. Jalan kita dahulu mungkin tidak relevan lagi dengan jalannya sekarang.
Apapun, prinsip dan syariat tetap sama. Mutlak sampai bila-bila. Pendekatan menegakannya sahaja yang mungkin berubah dan beza. Kebelakangan ini kerap pula saya menerima rintihan anak tentang saikap ibu-bapa. saya sungguh empati. Betapa kekadang saya juga pekak dan buta daripada rintihan anak sendiri. Kita perlukan hiadayah Allah untuk ketepatan dalam memimpin dan membuat keputusan. Sayang, cinta dan kasih tidak menafikan kebijaksanaan, ketegasan dan keadilan.
Untuk sahabatku di luar sana. Mari berkongsi rasa bersama masalah yang pernah dihadapkan kepada saya  ini. Mudah-mudahan, ada kebaikan yang dapat dipelajari dan diteladani oleh kita semua... Kita  sebagai ibu-bapa, mahupun kita sebagai anak.
Soalan:
Saya seorang pelajar di IPTA. Saya dibesarkan dalam keluarga yang sederhana. Apa yang merisaukan saya ialah semenjak akhir-akhir ini, sifat ayah  sungguh berlainan. Rupa-rupanya dia mempunyai perempuan lain dalam hidupnya. Apa yang saya tahu, dia telah 'diguna-gunakan' oleh perempuan itu.
Hubungan ayah dengan kami adik beradik semakin renggang. Ayah sering pulang lewat, malah kadang kala tidak pulang langsung. Pelajaran kami adik beradik juga tidak dipedulikan. Sejak itu saya mula membenci ayah. Perasaan benci ini adakalanya menyebabkan saya mendoakan agar bapa saya mati sahaja. Saya tahu perbuatan saya ini salah, tetapi apakah yang harus saya buat dalam situasi ini?
Jawapan:
Dalam Islam, kita dituntut supaya menghormati ibu dan ayah kita, tidak kira dalam dalam apa jua keadaan sekalipun. Bukan setakat tidak boleh menderhaka, malah jika kita tidak mendoakan kesejahteraan keduanya pun, kita sudah boleh  dianggap anak yang derhaka. Itu kalau kita tidak doakan kesejahteraan mereka, jadi bagaimana pula kalau kita doakan kecelakaan ke atas mereka?
Bermakna itu lebih derhaka. Dan jika anda doakan agar ayah anda mati, maka tidakkah itu bermakna bahawa anda lebih jahat daripadanya? Saya akui masalah ini agak sulit ditangani oleh anda atas kedudukan anda sebagai seorang anak yang dikira masih terlalu muda untuk mengetahui punca sebenar masalah... Namun ini tidak bermakna anda tidak boleh memainkan peranan yang penting untuk setidak-tidaknya tidak menambah masalah lagi. Dan saya tegaskan, bahawa mendoakan supaya seseorang mati, (lebih-lebih lagi ayah anda sendiri) bukanlah sebahagian daripada cara menyelesaikan masalah ini.
Anda sendiri yang mengatakan bahawa ayah anda telah 'diguna-gunakan'. Jika itu memang benar  patutkan beliau yang dipersalahkan? Ya, kalaulah benar dakwaan anda itu, ini bermakna ayah anda hanya menjadi 'mangsa' bukan pemangsa. Apabila menjadi mangsa, maka ibu dan keluarga anda turut menerima akibatnya. Kalau demikian, ayah anda wajar dibantu, bukan dibenci. Malah mungkin keadaannya lebih buruk dan teruk daripada apa yang anda deritai.
Jadi sekarang, persoalannya ialah bagaimana ingin 'menyelamatkan' ayah anda, bukan bagaimana hendak 'mematikan'nya? Dan sebagai seorang anak, anda punya banyak cara untuk membantunya. Dan inilah yang akan membawa kepada penyelesaian kepada masalah ini secara tidak lansung. Pertama, sekurang-kurangnya anda perlulah membantu diri anda sendiri terlebih dahulu. Yakni dengan cuba melawan perasaan kecewa, marah dan benci yang ada dalam diri anda itu. Stabilkan diri anda dan jalanilah hidup dengan sebaik-baiknya. Anda perlu faham bahawa masalah adalah 'rule of life' – hukum kehidupan yang perlu diterima oleh semua manusia.
Pandanglah ke kiri dan ke kanan anda, dan insafilah semua orang sedang berdepan dengan hukum kehidupan ini. Malah, ada diantara mereka yang lebih sukar lagi daripada anda. Mungkin bapa mereka meninggal dunia ketika mereka masih kecil dengan bilangan adik-beradik yang begitu ramai, ibu pula sakit-sakit. Tetapi anda tidak begitu... anda adalah lebih baik kerana ayah anda masih hidup, ibu anda masih sihat.
Tujuan saya menceritakan hal ini ialah untuk memberi semangat pada diri anda supaya tenang dan berpijak di bumi nyata dalam menghadapi sesuatu masalah. Jangan terlalu mengharap dunia akan jadi seperti yang kita idamkan. Dan jangan marah, jika anda dapati ayah anda atau siapa sahaja tidak bersikap seperti yang anda kehendaki kerana diri anda sendiri tidak bersikap seperti anda sendiri kehendaki... betul tak? Jadi, rasionallah. Hadapi kenyataan dengan sewajarnya.
Hakikat ini akan membantu ayah anda secara tidak lansung. Anda harus menjaga hati dan fikiran anda agar tidak terlalu tekan dengan masalah ini. Janganlah hendaknya tekanan masalah ini mengganggu tugas anda sebagai seorang pelajar IPTA yang menjadi harapan dan sandaran bukan sahaja oleh keluarga anda bahkan oleh masyarakat. Jangan tambah satu masalah lagi dalam keluarga anda... yakni dengan masalah anda sendiri! Cubalah belajar dengan baik. Tumpukan perhatian anda sepenuhnya. Anda sudah dikira dewasa untuk menganggap masalah ini sebagai cabaran bukan halangan.
Tentu anda punya adik-adik yang masih muda, tunjuklah teladan yang baik. Mereka melihat anda, maknanya jika anda 'stabil' dalam menghadapi cabaran ini, maka mereka juga akan mendapat suntekan semangat. Sebaliknya, jika mereka melihat anda goyah, mereka juga akan goyah dan mungkin terus patah.
Hendaklah anda menyedari hakikat bahawa mempunyai seorang ayah yang bermasalah adalah jauh lebih baik daripada tidak ada ayah langsung. Sekurang-kurangnya ayah anda masih pulang juga walaupun kadang-kadang terlewat. Maka sambutlah kepulangan dengan baik, jangan diboikot atau dipulau. Api tidak akan dapat dipadamkan dengan api. Teruskan peranan anda sebagai seorang anak. Dekatilah dirinya... Dan dengan kedudukan anda sebagai seorang siswa saya yakin anda adalah seorang anak yang diharapkannya.
Dia mempunyai rasa bangga, yakin dan hormat terhadap anda. Pergunakanlah kelebihan ini untuk mendekati dirinya. Bila sudah ada interaksi maka mudahlah anda berkomunikasi seterusnhya mula menyelami masalahnya. Insya-Allah, nanti anda mendapat gambaran masalah ini dengan lebih luas dan jelas. Nanti anda akan tahu apakah punca dan kenapa ia berlaku. Siapa pemangsa, kenapa ayah anda boleh terjerat dan apa umpan yang digunakan dalam keadaan ini? Sekurang-kurang ini akan menghilangkan kebencian anda terhadapnya kalau tidakpun menyelesaikan masalah ini secara keseluruhan.
Semua itu akan membetulkan persepsi seterusnya sikap anda terhadap ayah anda. Dan barulah nanti anda tahu benar-benar apakah ruang lingkup masalah itu. Apakah  sebab dan kesannya. Ingatlah, masalah yang sudah kita tahu, kata pepatah, adalah separuh selesai. Ya, setakat ini saya kira anda sudah faham bahawa saya ingin mengajak saudara supaya menyelesaikan masalah ini berdasarkan sumber yang ada pada diri anda sendiri. Lingkungan penyelesaian yang cuba saya ketengahkan ialah... bertindaklah dengan kuasa dan pengaruh yang ada pada diri anda sendiri.
Dalam konteks ini, saya ingin mengingatkan bahawa Rasulullah saw pernah bersabda bahawa doa merupakan senjata yang ampuh bagi orang mukmin. Di sini anda  telahpun mempunyai 'senjata' untuk menangani masalah ini. Cuma senjata itu nampaknya sudah tersalah guna. Senjata itu  digunakan untuk menikam ayah anda,  yang sebenarnya turut menikam diri anda sendiri. Daripada anda berdoa kematian ayah, bukanlah lebih tepat berdoa untuk keselamatannya?
Doakan ayah anda dari dianiaya orang, 'diguna-gunakan' dan sebagainya. Ingatlah, doa anak yang soleh terhadap ayahnya pasti dimakbulkan Allah sama ada ayah itu masih hidup atau mati. Sama ada ayah itu masih siuman atau telah 'diguna-guna'. Jika benar ayah anda diguna-gunakan, bermakna dia telah disihir. Hanya kuasa Allah sahaja yang mampu melawan kuasa jahat yang didalangi oleh syaitan itu. Oleh itu apa yang mampu anda lakukan ialah berdoa, sembahyang hajat dan bacalah ayat suci al-Quran serta beramallah dengan niat melawan sihir yang  sedang membelenggu ayah anda itu. InsyaAllah, dia akan sembuh semula dan menjalankan tanggung jawab sebagai ketua keluarga.
Perasaan benci tidak pernah menyelesaikan masalah. Bagaimana anda hendak mengikhlaskan diri berdoa untuk ayah, sedang perasaan benci ada dalam diri anda? Wajar saya ingatkan, perasaan benci mesti terlebih dahulu dibuang sebelum anda berdoa untuk kesejahteraannya. Doa yang dipanjatkan berserta  rasa benci tidak akan diperkenankan.
Rasulullah saw pernah bersabda bahawa doa seorang ibu terhadap anaknya adalah doa yang paling makbul. Ketika ditanya mengapa? Rasulullah saw menjawab, "kerana ibu paling menyayangi anaknya." Oleh itu saya mengingatkan , sayangilah ayah anda walau apa jua keadaannya. Berbuat baik terhadap ayah bukanlah kerana kebaikan yang telah, sedang dan akan dicurahkannya tetapi kerana itu perintah dari Allah. Jika anda benar-benar cintakan Allah, maka berbuat baiklah kepada ibu bapa tanpa melihat apa jua keadaannya.
Permasalahan orang tua, lebih manis jika orang tua yang menyelesaikannya. Anda terlalu muda untuk menangani masalah ini secara langsung. Ibu, bapa saudara serta sanak-saudara yang lain mungkin juga sedang memikirkan bagaimana menyelesaikan masalah ini. Berilah mereka masa. Peranan anda pula ialah apabila sesekali ayah balik, tunjukkanlah kemesraan tanpa apa-apa perubahan. Ceritakan masalah kepadanya tanpa mendesak-desak apalagi menggugut. Ini supaya dia rasa dihormati sebagai ayah terhadap anak-anak-anaknya, Jadi andalah terlebih dahulu mesti menunjukkan yang anda masih anak yang menyayanginya.
Mungkin dengan cara ini akan menyedarkannya bahawa kehadiran seorang 'perempuan' lain dalam hidupnya boleh dan akan memungkinkan dia kehilangan anak-anak yang disayanginya. Tidak mustahil selepas itu nanti, dia yang sebenarnya dalam dilema terpaksa membuat pilihan...apakah memilih anak-anaknya atau memilih 'perempuan' itu. dan jika anda telah menyayangi, mengasihi dan mendoakan kesejahteraannya, saya tidak teragak-agak lagi buat menyatakan bahawa ayah anda akan memilih anda.
Anak ku,
Barangkali ayah kita bukan seorang yang baik, tetapi sebagai anak kita mesti dapat melihat dan menghargai kebaikan ayah kita!

Bila Cinta Sudah Luntur, Kasih Telah Berakhir

Bila Cinta Sudah Luntur, Kasih Telah Berakhir

0

Bercinta sudah lama, hidup bersama sudah berpuluh tahun. Segala baik buruk diri dan pasangan sudah lama terbongkar dan diketahui. Akhir-akhir ini jiwa terasa kosong, tercari-cari sesuatu untuk mengisinya.Wajah isteri sudah mula jemu di pandang. Asyik wajah itu juga yang dilihat siang malam, pagi dan petang.
Tanpa sedar anda mula bersikap kritikal terhadap isteri, hypersensitive terhadap apa saja yang dilakukannya. Bukan secara positif, tetapi sentiasa terlihat kesalahan dan kekurangannya. Apa saja yang dibuat oleh isteri, sekalipun makanan kegemaran anda selama berpuluh tahun ini, tetap ada yang tidak kena.
Anda mula mencari alasan dan bahan untuk bertekak dengan isteri. Bukan sengaja, tapi entah kenapa , anda sendiri tidak mengerti terhadap perubahan diri. Bahkan anda tidak sedar pun anda dah berubah. Malah bila isteri bertanya mengapa anda berubah sikap, anda dengan tegas menuduh isteri anda yang sudah mula kurang prihatin pada anda, sudah tidak memahami anda, dan sudah kurang layanan terhadap anda.
Malangnya, anda tidak pernah ambil kesempatan duduk seketika dan muhasabah diri dan perkahwinan anda. Di mana silapnya? Aku yang berubah atau dia yang berubah?. Kalau benar ada perubahan, mengapa ia berlaku?.
Apakah anda begitu?. Apakah semua perkahwinan akan berakhir begitu?. Seiring dengan berakhirnya rasa kasih dan sayang?. Apakah perasaan kasih dan sayang tidak boleh kekal hingga ke liang lahad bahkan hingga ke akhirat kelak?. Apakah mesti ia pudar seiring dengan peningkatan usia perkahwinan anda?.
Mengapa ada orang lain boleh kekalkan kasih sayang terhadap pasangan sekalipun tubuh pasangan sudah hancur dimamah bumi?. Mengapa ada pasangan lain yang semakin membongkok semakin kukuh cinta dan kasih sayang mereka?. Mengapa tidak anda?.
Masa bukan satu-satunya faktor yang menyumbang kepada pengurangan perasaan terhadap pasangan dalam perkahwinan. Dalam ertikata lain, tidak tepat jika kita katakan semakin lama usia perkahwinan anda semakin kurang perasaan kasih sayang antara anda dan pasangan. Terdapat beberapa faktor lain yang menjadi penyumbang kepada keadaan ini.
Pertama, pendedahan sikap sebenar. Perkahwinan menyediakan gelanggang terbaik untuk anda mengenali siapa pasangan anda, zahiriah dan batiniah bahkan mengenali diri anda sendiri. Perkahwinan bukan sekadar satu peristiwa. Perkahwinan adalah satu proses yang berterusan yang memberi kesan menyeluruh kepada individu, samada dari segi fizikal , kognitif dan emosi.
Ini bermakna, sehari anda melalui proses perkahwinan, anda memberi ruang dan peluang untuk mendedahkan kepada pasangan siapa dan apa karakter sebenar anda , demikian juga anda semakin mengenali siapa sebenarnya pasangan anda. Anda dan pasangan, selain bagaikan pakaian yang saling menutupi antara satu sama lain juga bertindak sebagai cermin . Melalui interaksi anda dengan pasangan , anda akan mengenali diri anda dan juga pasangan.
Demikian juga sebaliknya. Ini bermakna juga, semakin lama anda dan pasangan hidup bersama, semakin besar peluang untuk pendedahan sikap dan perangai sebenar anda dan pasangan berlaku.
Namun begitu, faktor ini tidak berdiri dengan sendirinya. Penerimaan dan reaksi sering mencetus kekecohan. Sudah tentu anda membawa bersama segala perangai anda ke alam perkahwinan. Anda juga menerima segala apa yang baik dan buruk yang ada pada pasangan. Akad perkahwinan secara sedar atau tidak membuktikan anda (sebagai suami) sanggup menerima apa saja yang ada pada pasangan dan pihak yang satu lagi (isteri) sanggup menerima dan memberi apa yang ada pada diri.
Malangnya kita sering tidak tahu apa yang kita lakukan sebenarnya. Ramai pasangan yang menerima akad nikah tanpa mengetahui apa yang diterimanya dan apa sebenarnya yang disanggupi untuk diletakkan di atas pundaknya. Yang positif biasanya mudah diterima. Namun tidak semestinya begitu dalam alam perkahwinan. Yang baik pada anda belum tentu baik pada pasangan anda, apatah lagi yang tidak baik. Sungguh aneh dunia perkahwinan ini. Yang dulunya satu campur satu jawapannya dua tidak begitu perkiraaannya dalam dunia perkahwinan. Formulanya sudah berubah.
Kedua, penambahan komitmen. Perkahwinan adalah komitmen. Komitmen adalah tanggungjawab. Perkahwinan sarat dengan tanggungjawab samada pada suami atau isteri. Kedua-duanya sama berat dalam bentuknya yang tersendiri. Komitmen bertambah sebaik kehadiran cahayamata. Namun begitu, sekali lagi, faktor ini tidak bertindak sendiri terhadap pengurangan kasih sayang anda dan pasangan. Reaksi anda memainkan peranan. Bagaimana anda menangani dan mendepani segala komitmen ini.
Ramai pasangan yang mula teralih fokus apabila komitmen semakin bertambah. Para isteri terutamanya, apabila mula mendapat cahayamata, seorang demi seorang, mula terlupa pada si suami yang juga perlukan perhatian. Bahkan lupa pada diri sendiri yang juga memerlukan belaian suami. Juga lupa pada tanggungjawab pada perkahwinan yang perlu digilap selalu. Bukan sengaja tapi terlalai. Malangnya kedua-dua pasangan terus hanyut dalam kelalaian ini hinggalah perasaan-perasaan aneh yang menjarakkan hubungan mula timbul dan mencetuskan konflik dan tekanan yang semakin merenggangkan.
Kadangkala menyelesaikan masalah rumahtangga sama seperti menyembuhkan penyakit barah. Selagimana penyakit belum sampai ke tahap kritikal, peluang untuk sembuh masih tinggi. Masalahnya penyakit barah ini seringkali tidak disedari hingga ke tahap ianya sudah benar-benar parah dan sukar diubati. Melainkan jika seseorang itu benar-benar mengambil berat terhadap kesihatannya dan menjalankan langkah pencegahan awal. Bagitu juga dengan masalah rumahtangga dan hubungan suami isteri.
Penyakitnya menular dalam diam-diam. Hingga tiba masa ia mencetuskan perkelahian dan pertelingkahan, kerosakan di dalam perhubungan hingga ke tahap kritikal. Dalam erti kata lain, pada saat bantuan tiba, perkahwinan tersebut sudah di ambang kematian. Hanya perlu buat persediaan untuk dikafankan dan dikuburkan sahaja.
Persoalannya kini, bagaimanakah cara yang terbaik untuk mengekalkan perkahwinan?. Cara terbaik ialah dengan pendekatan ‘cegah sebelum parah’. Dalam ertikata yang lain, anda hendaklah sentiasa berusaha keras memastikan hubungan anda dan pasangan sentiasa dalam keadaan sihat. Sebarang masalah kecil ataupun besar perlu diberi perhatian dan ditangani dengan segera. Bukan dipandang ringan dan dibiarkan tanpa dirawat.
Dalam hal memelihara hubungan suami isteri dan menyelesaikan konflik Allah telah memberikan banyak panduan dalam al-Quran. Panduan ini terungkap dalam surah An-Nisa ayat 19 di mana Allah Taala berfirman yang bermaksud:
Hai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mempusakai wanita dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebahagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya, terkecuali bila mereka melakukan pekerjaan keji yang nyata. Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) karena mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.
Ayat di atas jelas memerintahkan agar kita sentiasa bergaul dan melayani pasangan kita dengan cara yang baik. Bentuk dan cara yang baik ini juga banyak di sebut dalam al-Quran samada bagi suami atau isteri. Namun begitu Allah mengingatkan kita , bahawa dalam pada kita menjalankan tanggungjawab dan berbuat baik terhadap pasangan juga, kita tidak sunyi dari perselisihan faham atau konflik yang datang dari perasaan kita terhadap sikap atau perbuatan pasangan.
Namun panduannya disini , kita dilarang dari membuat pertimbangan dan tindakan yang terburu-buru ekoran dari apa yang kita rasakan tadi. Larangan Allah Taala ini diikuti dengan dorongan agar kita mengimbau dan mengambil kira juga segala kebaikan yang ada disebalik perkara yang menimbulkan kebencian kita tadi. Allah mahu kita merenung, menilai secara adil dan seterusnya mengambil kira segala apa yang telah kita terima dan dilakukan oleh pasangan terhadap pasangan secara total.
Demikianlah Islam menyarankan bagaimana cara menangani perasaan-perasaan yang kurang enak yang timbul antara suami isteri. Sekaligus mengakui bahawa wujudnya pasang surut perasaan dalam perkahwinan. Namun begitu, sebagai manusia yang dikurniakan akal, seharusnya kita yang mengawal perasaan tersebut dan bukanlah perasaan yang mengawal kita dan seterusnya perkahwinan kita.