Islamic Widget

Friday, January 28, 2011

Lagi Sayang, Lagi Diuji

Lagi Sayang, Lagi Diuji

0
 
"Abang, betul ke kalau Allah sayang kita, Dia akan uji kita dengan banyak ujian?" satu soalan singgah ke peti masuk mesej telefon saya.
"Macam mana kalau tak betul?"
Kepada adikku, inilah jawapan abangmu.
Adikku,
Apabila kamu persoalkan kasih sayang manusia kepada kamu, maka abang sangat berlapang dada bahawa manusia ini memang terlalu nipis lapis kasih dan sangat kecil pula kotak sayang yang mereka miliki. Banyak terjadi bayi kecil dibuang ke serata pelusuk yang tidak layak, para pemimpin pula sibuk mengeringkan tabungan rakyat laksana buaya lapar yang dahagakan mangsa.
Tetapi yang kamu persoalkan ini adalah kasih sayang Tuhan-Mu. Dia yang dengan jelas menyebut diri-Nya sebagai Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani, di setiap surah di dalam Al-Qur'an. Adakah sejak abang ke sini lantas kamu juga meringankan tilawah yang wajib ini?
Jika benar, maka mari abang mengajakmu supaya kita sama-sama menyelak kembali lembaran suci yang setiap ayatnya membersihkan jiwa ini. Perhatikan, bahawa Allah telah memberi peringatan kepada kita dengan firman-Nya: 
"Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya (sehingga lupa daratan); dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa. Mengapa mereka bersikap demikian?) dan mengapa mereka tidak melihat (dengan hati mereka) bahawa Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (sebagai cubaan adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya), dan Ia juga yang menyempitkannya (sebagai ujian sama ada diterima dengan sabar atau tidak)? Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman." (Surah Ar-Rum: 36-37)

Ujian Kesempitan Adalah Hasil Kecuaianmu
Adikku,
Apakah rasamu mendengarkan ayat Alllah di atas? Tidakkah kamu melihat kesenangan dan kemudahan hidup sebagai ujian Allah, sama seperti kesempitan hidup yang kamu dakwakan sedang Allah timpakan kepada kamu sekarang?
Fikirkan juga wahai adikku, semua kesusahan yang kamu deritakan ini hanyalah berpunca dari kelalaianmu sendiri. Kamu gagal mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaanmu, bukankah itu natijah dari kemalasan dan kekurangan strategimu dalam mengulangkaji pelajaran? Atau kamu masih angkuh menafikannya?
Kemudian, kamu sibuk mengatakan ummi asyik marahkan kamu, kawan-kawan pula gemar menaikkan darahmu, kenanglah semula wahai adikku. Sejauh mana kamu berakhlak dengan mereka? Apakah kamu benar-benar berlaku adil dengan mereka? Bahkan sekalipun kamu sudah berakhlak sebaiknya dengan mereka, sepatutnya kamu ingat kepada baginda Nabi sebagai manusia yang luar biasa akhlaknya tetap juga dilukai manusia.
Namun, jika ujianmu benar terlalu berat, tiada apa yang dapat abang nasihatkanmu melainkan mengajakmu supaya sentiasa bersabar. Bersabar, bersabar, dan teruslah bersabar kerana untuk orang-orang yang bersabar, ganjarannya adalah seinfiniti pahala. Itu janji Tuhan. Bersabarlah kerana deritamu ini sangat sedikit berbanding kehidupan akhirat nanti. Adakah dapat kamu bayangkan kesusahan dunia sekitar empat, lima tahun, puluhan tahun sekalipun jika dibandingkan dengan kebahagiaan akhirat yang tahunnya tidak akan habis?
Hidup ini bukanlah selama-lamanya, bahkan bukan lama pun. Apabila kamu sudah merasai kehidupan, maka bersedialah pula untuk mati. Ingatlah kepada kematian, fikirkanlah tentang akhirat, kamu akan insaf nanti.
Ujian Ini Nikmat Keimanan
Adikku, tidakkah kamu mengaku bahawa kamu ini orang beriman. Sedangkan jika benar, pastinya kamu pernah mendengar firman Allah ini,
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta." (Surah Al-Ankabut: 3-4) 
Sekarang, persoalkan dirimu sendiri, mana bukti keimananmu? Adakah layak kamu mengaku beriman kepada Allah, kepada rasul-Nya, sedangkan kamu tidak yakin bahawa ujian ini daripada-Nya untuk menguji keimananmu?
Para sahabat nabi, mereka membenarkan iman mereka dengan menyediakan leher-leher mereka di medan perang untuk mengembangkan Islam. Bahkan seluruh para tabiin, hidup mereka tiada keseronokan melainkan dalam keasyikan bersama ujian dan tarbiyah daripada Allah. Maka jika ini menjadi bukti keimanan mereka, mengapa kita tidak sanggup membuktikan keimanan dengan menghadapi ujian hidup ini bersama kesabaran terhebat yang mampu kita persembahkan?
Alangkah Baiknya Bahawa Yang Mengatur Adalah Allah.
Adik, hidup kita semalam, pagi tadi, dan sekarang Allah yang atur. Malah kalau kita mati sekejap lagi, itu pun Allah yang atur. Bukankah sangat baiknya hidup kita ini yang mengaturnya adalah Allah?
Atau fikirmu bahawa kamu sendiri dapat mengaturkan hidupmu dengan cara yang kamu sendiri mahu? Urusan kebahagianmu kamu uruskan sepenuhnya, tanpa cahaya petunjuk daripada Allah. Begitukah yang kamu mahu?
Jika kamu menjawab tidak, maka kembalikanlah keyakinanmu. Tuhan tidak mengujimu dengan sia-sia. Bahkan dia merancang untuk kamu kebaikan yang tidak dapat kamu bayangkan.
Pernah suatu hari Saiyidina Umar datang menghadap nabi dengan membawa beberapa orang tawanan. Di antara para tawanan itu terlihat seorang wanita sedang mencari-cari, lalu apabila dia mendapatkan seorang bayi di antara tawanan, dia terus mengambil bayi itu lalu mendakapkannya ke perut untuk disusui.
Lalu Rasulullah saw. bersabda: Bagaimana pendapat kamu sekalian, apakah wanita ini akan melemparkan anaknya ke dalam api? Para sahabat menjawab: Tidak, demi Allah, sedangkan dia mampu untuk tidak melemparnya. Rasulullah saw. bersabda: Sungguh Allah lebih mengasihi hamba-Nya daripada wanita ini terhadap anaknya.
Adik, ummi sayangkan kamu pun tidak sampai 0.001 peratus daripada Tuhan sayangkan kamu!

Thursday, January 27, 2011

Syaitan itu Kreatif !


Syaitan itu Kreatif !

alt
Pernah satu ketika saya diminta belajar daripada syaitan oleh seorang yang ulama yang dihormati. Saya terkejut. Benarkah ini?
"Belajar tentang kreativiti dan inovasi syaitan menyesatkan manusia," jelasnya. Saya tersenyum. Ada kebenarannya.
Syaitan begitu kreatif mencipta dan mempromosi kejahatan.Ada-ada sahaja cara dan jalannya. Tidak pernah kaku, jarang yang beku. Sentiasa ligat dan cepat. Sentiasa ada pembaharuan.
Malangnya, acapkali orang yang memperjuangkan kebenaran...tidak se'dinamik' dia. Tumpul kreativiti dan beku inovasi. Asyik-asyik yang semacam itu juga.
Begitulah. Semoga kisah dialog di bawah boleh dijadikan cabaran untuk minda bagi terus memperjuangkan kebenaran. Kita mesti lebih kreatif daripada syaitan!
KISAH TIDAK LAMA DULU
Bertemu dengannya dahulu merupakan satu penghormatan. Apa tidaknya, dia sudah berubah ke arah kebaikan.
"Mengapa tiba-tiba?" tanya saya.
"Hidayah bang..." jawabnya si dia pendek.
"Bagaimana dengan segalanya?" Risau saya dengan profesyennya.
"Allah ada. Allah akan membantu segalanya."
"Syukur," kata saya perlahan.
Setahun kemudian.
"Lihat ini.." kata seorang sahabat sambil menghulurkan sekeping gambar.
"Betul ke ni?"
"Apa kau ingat ini 'super-impose'?"
Saya terdiam. Kaku.
"Mana pergi tudungnya?"
"Itu.." tuding jari saya kepada tudung merah di atas kepalanya.
"Itu tudung?"
"Yalah, bertudung tapi tidak menutup aurat."
"Bertutup tapi terbuka, tahupun..." katanya seakan menyindir.
Bila kenalan itu pergi, saya tatap sekali lagi gambar yang ditinggalkan. Kasihan saya melihat wajah si dia yang terbaru. Terasa, betapa kekadang hidayah datang dan pergi berselang-seli. Masih terbayang tangisannya tempoh hari, ketika menceritakan bagaimana terbuka pintu hatinya menginsafi dosa-dosa lampau.
"Bang saya insaf bang..."
Lantas, tanpa sesiapa yang memaksa... dia mengenakan tudungnya. Lengkap, labuh, menutup aurat berpandukan syariat. Tidak jarang, tidak ketat, tidak mengundang fitnah bertandang. Sempurna. Sejuk, mata memandang. Dingin kalbu merasakan.  
Betapa hidayah itu singgah tanpa mengira siapa, di mana dan bila? Dulu si dia terpilih, sekarang kembali tersisih?
Kini tiba-tiba segalanya semacam 'ditarik' kembali. Tudungnya makin singkat. Dari mulanya di bawah paras dada, naik ke paras leher dan akhirnya kembali membuka leher, dagu dan... Paling malang, tingkah yang dulunya mula terjaga, kini lepas bebas kembali.
Kata sesetengah yang setuju, biarlah... itu lambang Islam dinamik. Bertudung tapi masih boleh meliuk-lentuk, terkinja-kinja dan bersuara manja. Yang penting hati... Asal hati baik, tidak mengapa. Yang penting isi, kulit tak apa.
Kalau begitu kenapa dulu perlu bertukar kulit? Insaf dan taubat sahajalah, tak payah bertudung litup seperti kelmarin!
Saya teringat kuliah yang pernah disampaikan oleh seorang ulama satu ketika dahulu:
"Syaitan terlalu kreatif..." Kreatif? Bisik hati saya.
"Kekadang syaitan tidak menghasut manusia meninggalkan daerah putih menuju daerah hitam... Tetapi dia mengujudkan lebih banyak daerah 'grey' – warna keperang-perangan, yang hakikatnya bukan lagi kebenaran."
Terfikir saya, inilah jerangkap kebatilan yang dianggap kebenaran. Topeng baik bagi melempiaskan kejahatan yang dulunya terpendam. Ya, syaitan terlalu kreatif. Ada-ada sahaja 'was-was' baru yang ditiupkan ke jiwa insan agar meminggirkan jalan Tuhan.
Hasilnya, sekarang kita dapat lihat bagaimana ada gadis bertudung di kalangan Mat Rempit. Ada wanita bertudung yang melalak dengan gaya bebas terbabas dari nilai akhlak dan kesopanan.Atau peragawati bertudung dengan langkah 'catwalk' dengan dada, 'make-up' galak sambil yang mengundang pesona dan 'aura' dosa. Dan lebih 'daring' lagi kita dapat lihat tarian ala-ala gelek oleh gadis bertudung... Atau sekarang pun sudah ada bunga-bunga munculnya Rockers wanita bertudung? Ah, apa ni? Daerah 'grey'? Atau segalanya sudah hitam, kelam, kusam.
Teringat juga saya pesan daripada seorang yang saya sangat hormati kerana ilmu dan kewarakannya:
"Tudung wanita itu ada empat... tudung pada wajahnya, tudung pada mata, tudung pada suara, tudung pada hati."
Apa ertinya?
"Tudung pada wajah... jangan sampai wajahnya mengundang fitnah. Kecantikan adalah pingitan buat suami, bukan pameran untuk lelaki ajnabi. Tudung pada mata... jangan matanya memandang lelaki lain selain muhramnya. Solehah yang hakiki, tidak dipandang, tidak memandang. Tudung pada suara... jangan dilunak-lunakkan dengan tujuan memikat dan mempersona. Tudung pada hati... mengingati Allah... dengan tasbih Siti Fatimah, subhanallah, alhamdulillah dan Allahu Akbar..."
"Jangan terlalu ekstrem," tegur seorang kawan bila saya lontarkan pandangan betapa wanita bertudung masakini sudah semakin hilang 'penghormatannya' (baca betul-betul... bukan 'kehormatan'). Bagi saya kuantiti orang bertudung meningkat tapi kualitinya merudum."
"Bukan begitu. Menutup aurat ada tujuannya... tercapaikah tujuan dengan penutupannya. Jika tidak, hakikatnya mereka masih terdedah," balas saya perlahan.
"Aku tak faham. Maksud kau?"
"Seperti juga solat. Tujuannya mengingati Allah, kesannya pasti dapat mencegah kejahatan dan kemungkaran. Begitu maksud Al Quran apabila menjelaskan tujuan solat didirikan."
"Lantas?"
"Jika solat tidak mencapai tujuan pasti ada sesuatu yang menyimpang. Samalah seperti hukum menutup aurat, tujuannya menjaga akhlak dan kehormatan. Maknanya kalau sudah menutup aurat, tetapi masih tercalar akhlak dan kehormatan... tentu ada yang salah dalam penutupannya."
"Jangan ektreem sangat. Tutup aurat bukan ertinya kita menutup keindahan. Tak salah berhias, menarik, cantik."
"Keindahan mesti didasari oleh kebenaran. Ingat, setiap keindahan tidak semestinya satu kebenaran..."
"Jadi kebenaran menolak keindahan?"
"Keindahan itu satu kebenaran!" balas saya cepat. Ya, atas alasan bertudung tidak menafikan keindahan pelbagai 'aksesori' ditokok-tambah menjadikan tudung lebih dimertabatkan sebagai 'fesyen' orang 'baik-baik' dan orang 'cantik-cantik' berbanding syariat wanita yang beriman!
"Hormati, itukan era transisi" kata seorang sahabat seakan memujuk saya.
"Transisi? Apa maksud mu?"
"Sebelum lengkap bertudung... err... maksudku menutup aurat, biarlah mereka berskaf dulu. Tu pun dah baik daripada sebelumnya yang tak menutup kepala langsung."
"Transisi, ke arah mana? Aku tidak bercakap tentang orang yang tak bertudung langsung. Tetapi aku bercakap tentang individu yang dulu tak bertudung, lepas tu bertudung, kemudian berskaf sahaja... ini transisi ke arah mana? Nak bertudung semula atau nak tak bertudung semula?"
Dia diam. Bungkam. Marah sayapun kerana sayang.
"Langkah pengalihan mesti diiringi oleh pengisian. Jangan tutup kepala sahaja, tetapi isi kepala yang ditutup itu dengan ilmuMereka yang tidak menghadiri majlis lebih 40 hari, hati menjadi gelapKemudian cari kawan-kawan yang sehaluan. Penghayatan agama kita dipengaruhi oleh kawan-kawan kita..."
"Kau kata mereka tidak ada ilmu?'"
"Bukan begitu. Menuntut ilmu mesti berterusan. When you stop learning, you stop leading – maksudnya, jika kita berhenti menuntut ilmu kita akan berhenti memimpin. Sekurang-kurangnya memimpin diri sendiri," kata saya.
"Sekali lagi. Kau meragui ilmu mereka?."
"Ada sebab untuk aku meraguinya? Maaf, aku pun bukan baik. Tetapi kita tidak boleh berdiam melihat kejahilan berkata-kata."
"Maksud kau?"
"Ada yang berkata, dia masih menutup aurat kerana dia memakai rambut palsu! Bayangkan apa yang orang begini faham tentang hukum menutup aurat? Pernahkah dia mendengar tafsir Surah An Nur? Pernah dia belajar tafsiran hadis tentang aurat wanita Islam? Peliknya, suara semacam ini semakin nyaring sekarang."
Aku diam. Tafakur. Semua itu imiginasi untuk tulisan ini semata. Namun itu bukan ilusi. Aku tidak pernah punya kesempatan untuk menuturkannya. Lalu Kemudi Hati ini menjadi wadahku berbicara.
Untuk diri, isteri, anak perempuanku dan anda wanita-wanita Islam semua.
Antara syaitan bisu dan syaitan yang licik berkata-kata, kekadang kita jadi semakin bungkam... menjadi 'malaikat' yang diam? Oh, tidak...
Rasul berpesan: katakan yang benar walaupun pahit
!

Mengapa Gagal Kawal Nafsu Zina?


Mengapa Gagal Kawal Nafsu Zina?

alt
Hikmah larangan berzina sudah dimaklumi umum. Akibat buruknya juga terbukti hari ini, kes pembuangan bayi serta pembunuhan pasangan kekasih adalah bertitik tolak daripada perlanggaran perintah Allah.
Walaupun Islam sudah menggariskan cara hidup yang sempurna merangkumi semua aspek, ada segelintir pihak mahu melanggarnya. Maka timbullah pelbagai kejadian tidak diingini dan tidak dapat diterima fitrah manusia. Zina adalah perbuatan keji yang boleh mengaibkan pemilik maruah diri, keluarga dan agama. Zina juga membawa kerosakan pada bumi. dan dapat dilihat dalam perkembangan sosial sekarang, hubungan intim tidak lagi menjadi asing dalam budaya hidup moden.
Akibatnya, janin digugurkan dan anak yang tidak sah taraf lahir, dibuang merata malah dibiarkan mati. Perbuatan ini boleh disamakan dengan pembunuhan yang balasannya juga adalah nyawa, mengikut hukum Tuhan.
Firman Allah: "Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar." (Surah al-Israa': 33)
Berzina sehingga melahirkan anak tidak sah taraf juga meninggalkan implikasi lain yang bersifat jangka panjang terhadap anak terbabit seperti rosaknya nasab. Allah berfirman maksudnya: "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." (Surah Al-Israa': 32)
Buruknya zina dapat dinilai melalui amaran Allah dalam ayat itu supaya hamba-Nya tidak menghampiri sebarang perbuatan yang mendorong kepada zina.
Kebanyakan pengamal zina hari ini tahu dan faham akan larangan itu tetapi tidak berusaha menjauhinya. Apa lagi yang mampu mengelakkan golongan ini menjauhi zina melainkan kesedaran beragama dan pemantauan orang di sekeliling?
Memang benar, sekiranya empunya badan tidak berusaha kembali ke pangkal jalan, sudah tentulah tidak ada apa yang boleh merubah keadaan. Di negara yang taraf pendidikan rakyatnya tinggi, kedangkalan ilmu tidak menjadi sebab perbuatan jahiliyah ini semakin berleluasa. Apatah lagi ilmu agama hari ini mudah diperoleh dan disampaikan kepada setiap golongan masyarakat secara langsung atau tidak langsung. Mungkin juga tarbiyah hati yang kurang mencukupi menyebabkan nafsu tidak terhalang daripada terus membuat kerosakan di bumi dan akal pula tidak boleh menjadi pedoman meskipun mampu berfikir.
Walau apa pun alasannya, mencari ruang kesalahan tidak cukup untuk membetulkan keadaan. Sebaliknya, setiap ahli masyarakat perlu memainkan peranan yang sepatutnya untuk tidak membenarkan perbuatan zina berlaku di mana-mana, baik di rumah sendiri, bilik hotel, dalam semak atau di rumah tumpangan. Mengharapkan sehingga setiap individu mempunyai kesedaran tentulah tidak merancakkan langkah pencegahan, walaupun itulah yang terbaik untuk mengatasinya.
Firman Allah bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu puak yang menyeru berdakwah kepada kebajikan mengembangkan Islam dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah, buruk dan keji, dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya." (Surah Ali 'Imran: 104)
Individu Islam tidak boleh menolak daripada berpegang teguh kepada ajaran al-Quran dan as-Sunnah. Dengan berpegang ajaran inilah manusia tidak akan terpesong daripada kebenaran atau sesat akidahnya, sama ada melalui perkataan atau perbuatan, seperti sabda Rasulullah:
"Dari Ibni Abbas r.a ia berkata: Sabda Rasulullah – Sesungguhnya aku telah meninggalkan pada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sama sekali sesat selama mana kamu berpegang kepada keduanya, kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya." (Hadis riwayat Al-Imam Al-Hakim)